Thursday, November 19, 2009

Jauhi Kemungkaran Hindari Kemurkaan

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1 – 6 surah al-Waqi’ah :

إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا

Maksudnya : Apabila berlaku hari kiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran
Kita kini dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang dulu teguh berdiri kini mula hancur musnah. Tanah yang tetap terhampar kini bergegar dan runtuh yang menelan bangunan dan manusia. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan meragut nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Api yang dulu jadi kawan kini membakar hutan dan bangunan. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Kesemua peristiwa yang berlaku mestilah diambil pengajaran yang sepatutnya terutama dalam mengingatkan kita bagaimana dunia semakin dekat kepada hari qiamat. Keadaan pada hari ini sudah begitu teruk apatah lagi bila berlakunya qiamat nanti. Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu umat manusia samada telah bersedia untuk menuju akhirat atau terus terpedaya dengan tipuan dunia. Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Anas bin Malik katanya :

قال الرسول : لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَكُوْنُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالجُمْعَةِ وَتَكُوْنُ الجُمْعَةُ كَاليَوْمِ وَيَكُوْنُ اليَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُوْنُ السَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ بِالنَّارِ

Maksudnya : Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi terlalu singkat. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seumpama seminggu, seminggu pula dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seolah-olah satu jam sahaja dan satu jam berlalu bagaikan satu percikan api sahaja
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan kepada kita bagaimana keadaan umat akhir zaman dengan qiamat terlalu dekat ibarat dua jari yang bersebelahan sahaja. Bila kita lihat apa yang berlalu disekeliling kita menunjukkan bahawa hampir kesemua alamat atau tanda-tanda qiamat yang diberitahu oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w telah pun berlaku antaranya sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:

قال الرسول

: مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ


Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki
Akibat buta agama dan lari daripada melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan seharian maka pelbagai jenayah dan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita. TV dan akhbar tidak sunyi daripada menyiarkan berita tentang rompakan, pembunuhan dan buang anak akibat penzinaan yang semakin parah. Walau pun sudah terlalu banyak peringatan Allah terutama tentang selsema babi, ribut taufan Filiphina dan gempa bumi Indonesia namun pengajaran yang sepatutnya mengetuk hati manusia tidak digunakan. Manusia sentiasa mencari alasan bahawa itu semua adalah bencana alam contohnya gempa bumi berlaku kerana Indonesia berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’ sedangkan Malaysia berada di luar kawasan bahaya itu.
Ingatlah bahawa ia tidak mustahil berlaku terutama berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak walau pun tidak sekuat dan sedahsyat negara lain. Jangan tunggu bala musibah menimpa atas batang hidung sendiri batu mahu insaf dan bertaubat kepada Allah. Takutlah kepada Allah sepanjang masa dan tempat bukannya takut kepada kepada penyakit dan bencana alam. Pilihlah samada kita terus membiarkan maksiat dan menunggu bala yang dahsyat atau kita bangkit menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan mendapat keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 179 surah al-A’araf :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
Mimbar Jumaat pada hari ini tidak ketinggalan untuk mengajak kita untuk merenungi beberapa peristiwa pelik lain yang berlaku sekeliling kita seperti sejadah berdiri seolah-olah sedang solat di beberapa tempat di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang walaupun banyak keraguan yang timbul daripadanya mungkin ia sengaja direka-reka oleh budak-budak nakal. Namun kita sebagai umat yang di galakkan untuk sentiasa berfikir ambillah iktibar bukannya dijadikan bahan khurafat dan tahyul, jadikan ia sebagai cara untuk menyedarkan umat Islam agar sentiasa menjaga solat terutama secara berjemaah. Kita mesti menangani masalah meninggal solat yang semakin parah dalam masyarakat kita pada hari ini terutama bila mendengar suatu kajian di mana 95 peratus pelajar sekolah menengah dan sekurangnya 60 peratus pelajar universiti tidak lengkap solat.

Kita juga tertarik dengan komen Majlis Mufti Rusia yang menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia 9 bulan di selatan Rusia merupakan amaran Allah kepada semua penduduk Islam di Rusia dan seluruh dunia agar mengikuti perintah Allah dengan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan membersihkan diri daripada dosa yang membolehkan kita mendapat keampunan dan keredhaan Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa hidup hatinya iaitu diberitahu tentang pahala dan syurga maka berebut untuk mendapatkannya manakala bila disebut tentang bahaya dosa dan neraka maka gementar hati memikirkannya. Jangan sekali-kali kita menjadi manusia yang mati hati walau pun telah banyak peringatan yang didatangkan oleh Allah namun dia bukan sahaja tidak mengambil iktibar malah bertambah jahat melawan Allah
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika menyoroti gempa bumi di Padang maka ambillah iktibar sewajarnya seperti ada dakwaan bahawa penduduk di sesetengah tempat di sana yang melakukan bid’ah dan khurafat seperti membayar nazar dengan menziarahi makam Syeikh Burhanudin setiap bulan Sofar, anak muda hidup cara barat dengan melakukan maksiat terang-terangan, ada sambutan perkahwinan yang dihidang arak sebagai tradisi, pesta Aidilfitri dengan maksiat di tepi pantai dan bulan Ramadhan yang turut dicemari maksiat. Kesemua penderhakaan ini memang mengundang bala Allah.
Menyedari tentang betapa pentingnya tugas amar makruf nahi mungkar dalam membentuk sebuah negara yang aman dan diberkati Allah maka marilah kita sama-sama meningkat usaha ke arah memperkasa tugas yang mulia ini.
Ingatlah kepada amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Huzaifah :

قال الرسول:

 لَتَأْمُرَنَّ بِالمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Maksudnya: Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya siksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar siksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


0 comments:

Post a Comment

Himpunan Khutbah © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute